Monday, March 10, 2008

Kunjungan Teman Lama dari Timor Leste

Pagi tadi saya telah dikunjungi oleh sdr Arif Abdullah Sagran, Presiden Pusat Komuniti Islam Timor Leste. Beliau datang ke Malaysia atas jemputan Suruhanjaya Pilihanraya untuk melihat perjalanan pilihanraya umum ke-12 yang berlangsung pada Sabtu lepas 8 Mac 2008.


Komen beliau mengenai pilihanraya di Malaysia; berjalan begitu lancar dan terkawal dalam suasana aman dan selesa. Cumanya pada pemerhatian beliau, media kerajaan telah digunakan sepenuhnya untuk Barisan Nasional sedangkan pihak pembangkang langsung tidak diberi peluang secara adil dan saksama.

Sdr Arif pernah menjadi Duta Besar Timur Leste ke Malaysia untuk beberapa bulan di bawah Perdana Menteri Mari Alkatiri. Malangnya beliau terpaksa pulang semula ke Timur Leste setelah Timor Leste bertukar pemimpin.

Kunjungan beliau yang ringkas ini telah memperbaharui hubungan yang telah terbina sejak beberapa tahun dahulu dan beliau masih berharap agar saya membuat kunjungan ke Timur Leste untuk melihat sendiri perkembangan Islam di sana. GPM pernah menganjurkan program korban melalui persatuan beliau.

Saya sempat menayakan mengenai peristiwa percubaan bunuh terhadap Presiden Ramos Horta dan Perdana Menteri Gusmao. Respon beliau agak menarik apabila beliau menyatakan bahawa cubaan bunuh tersebut ada kaitan dengan krisis politik antara Presiden dan Perdana Menteri.

[+/-] Baca selanjutnya...

Wednesday, March 5, 2008

Pak Sheikh kembali kerahmatullah

Dipusara D2430 Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam.

Dengan dukacita dimaklumkan bahawa Dato’ Sheikh Azmi Ahmad (64 tahun) mantan Naib Presiden ABIM dan Naib Presiden Parti KeADILan telah kembali kerahmatullah pada jam 7:45 pagi, 1 Mac 2008 bersamaan 28 Safar 1429H setelah lebih 2 minggu dirawat di Institut Jantung Negara.

Ketika berita itu sampai ke pengetahuan saya, saya dan teman-teman (Khairul Arifin, Setiausaha Agung ABIM, Halimi, Pen Setiausaha Agung Wadah dan Akmal, Pegawai Khas Setiausaha Agung) dalam perjalanan ke Pontian Johor. Sebaik sahaja mendapat maklumat tersebut kami segera selesaikan urusan di Pontian dan kembali ke Kuala Lumpur untuk hadir di majlis solat jenazah dan pengkebumian Pak Sheikh.

Alhamdullillah dengan izin Allah s.w.t. kami sempat sampai di masjid taman TTDI Jaya ketika para jemaah baru memulakan solat jenazah sekitar jam 1:45petang. Ada sekitar 200 orang dari kalangan sahabat handai, teman-teman lama di dalam ABIM dan Parti Keadilan termasuk Calun PAS dan KeADILan yang bertanding di Shah Alam. Sdr Khalid Samad yang bertanding di Parlimen Shah Alam dan Sdr Yaakob Sapari Calun DUN Kota Anggerik turut kelihatan. Difahamkan Nurul Izah dan adiknya turut hadir mewakili ayah dan ibu mereka yang tidak dapat hadir kerana berada di luar kawasan. Tidak ketinggalan Ustaz Razali Nawawi dan juga pimpinan veteran dari ABIM Kedah.

Seterusnya kami ke tanah perkuburan untuk turut serta menyempurnakan pengkebumian jenazah. Sepanjang hari cuaca begitu redup sekali seolah-olah turut bersedih dengan berpulangnya kerahmatullah Pak Sheikh.

Secara peribadinya saya dapat berbual panjang dengan Pak Sheikh semasa beliau berada di Anjung Rahmat untuk rawatan kencing manis secara alternatif dan kemudian di KBMC sebaik kaki beliau dipotong.

Beliau sentiasa menampakkan dirinya begitu ceria, berbincang tentang pelbagai isu yang berkaitan dengan negara, dakwah dan Islam hingga ke Wali Songo serta Anwar Ibrahim. Apa yang nyata beliau begitu menyayangi Sdr Anwar Ibrahim dan sentiasa bersedia untuk melakukan apa juga yang termampu untuk membantu Sdr Anwar. Beliau juga menyebut bahawa Sdr Anwar memerlukan panglima-panglima seperti saya untuk membantu beliau. Begitulah Pak Sheikh. Keakraban dan kasih sayang beliau dengan Anwar Ibrahim cukup luar biasa.

Bagi kita yang mengenali Pak Sheikh sudah tentu kita kehilangan seorang tokoh pejuang yang ceramahnya begitu bersahaja, tegurannya melalui lawak-lawak yang penuh erti yang mendalam.

Saya tak pernah melihat beliau marah. Beliau sentiasa melontarkan senyuman walaupun dalam keadaan getir dan sukar ketika melakukan tugas-tugas dakwah. Mudah-mudahan kita mampu untuk menjejaki perjuangannya. Semoga Allah s.w.t. menerima seluruh amalan soleh beliau dan ditempatkan di kalangan kekasihNya. Al Fatihah.

[+/-] Baca selanjutnya...

Monday, February 11, 2008

Doa kami untuk Dato' Sheikh Azmi

Saya dan Sdr Abdul Halim Ismail telah menziarahi Dato' Sheikh Azmi di Wad CCU Institut Jantung Negara jam 1.00 tengahari tadi. Beliau berada dalam keadaan sedar dan menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan kami walaupun tidak dapat bercakap kerana beliau menggunakan mesin bantuan pernafasan. Pastinya kami sangat terkilan kerana tidak dapat berbicara dengan Pak Sheikh dan kami yakin beliau lagi terkilan kerana walaupun sedar tetapi tidak dapat berbicara. Beliau hanya menggunakan isyarat jari telunjuk (umpama ketika orang mengucap kalimah syahadah). Kami tidak mengerti apa maksudnya dan beliau pun nampak kesal kerana kami tidak memahami. Sdr Abdul Halim membacakan doa agar beliau segera sembuh dan diberi kekuatan oleh Allah s.w.t untuk menghadapi ujian ini. Kemudiannya kami mohon izin untuk pulang bila beliau kelihatan kepenatan dan bersalaman sebelum meninggalkan wad tersebut.

Dalam perjalanan pulang ke pejabat kami menghimbau pada tahun 1999, ketika itu saya sebagai Presiden ABIM dan Sdr Halim sebagai Naib Presiden, kami berkunjung ke pejabatnya yang baru di Kuala Lumpur kerana mengucapkan tahniah di atas pelantikan beliau sebagai YAA Ketua Hakim Sharie Wilayah Persekutuan dan Labuan setelah lima tahun menjadi Mufti Pulau Pinang. Kami makan nasi bungkus di pejabatnya dan kami tidak menjangka beberapa bulan selepasnya beliau meletakkan jawatan untuk bertanding dalam pilihanraya umum 1999 atas tiket Parti KeADILan. Pengorbanan beliau sangatlah tinggi dan beliau terus berjuang dalam Parti KeADILan sebagai Naib Presiden sehinggalah beliau uzur akibat penyakit kencing manis yang agak kronik. Rasanya tidak ramai di kalangan kita yang mampu meninggalkan jawatan yang menjanjikan kesenangan dan keselesaan hidup demi perjuangan tercinta. Pak Sheikh adalah di kalangan yang tidak ramai itu.

Saya terharu dan berdoa agar mampu menjejaki kegigihan dan kesabaran beliau dalam perjuangan dakwah. Saya sarankan agar seluruh warga jamaah dalam WADAH, ABIM dan PKPIM serta siapa juga yang mengenali beliau untuk menunaikan solat hajat agar Allah Taala memberi kekuatan dan kesabaran kepada beliau.

[+/-] Baca selanjutnya...

Wednesday, February 6, 2008

Silaturrahim Tokoh - S.M Idris

Pada 5 Februari yang lalu, saya telah mengunjungi S.M Idris, seorang tokoh yang sangat saya hormati sejak memimpin ABIM lagi. Telah agak lama beliau meminta saya datang ke Pulau Pinang untuk berbincang mengenai krisis umat Islam dan kesan globalisasi lebih-lebih lagi sejak saya tidak lagi menjadi Presiden ABIM.




Beliau amat berminat untuk berkerjasama dengan NGO yang telah saya tubuhkan iaitu Future Global Network (FGN). Banyak isu yang dibincangkan berkaitan isu nasional dan global. Adik beliau Mohiden Kadir turut serta di dalam perbincangan yang sentiasa segar dengan ide-ide baru dan bernas. Kemudiannya S.M Idris menjemput rombongan FGN untuk makan tengahari di rumah beliau di Jalan Rose.

[+/-] Baca selanjutnya...

Friday, February 1, 2008

Ziarah Global - Sudan: Sumbangan Malaysia Amat Dihargai

Rata-rata pemimpin Sudan yang saya temui amat menghargai sumbangan Malaysia khususnya ketika Sudan baru menemui minyak di sekitar tahun 80an. Ketika tiada negara yang berani menolong kerana tekanan politik Amerika Syarikat, Malaysia melalui PETRONAS tampil ke hadapan membantu mengurus pengeluaran minyak bersama dengan negara China.

Sekarang ini jika melihatkan kepesatan pembangunan Khartoum, ibu negara Sudan, dengan hotel-hotel baru yang mulai tumbuh, jalanraya yang bersimpang siur, kereta yang berasak-asak, menggambarkan hasil minyak telah dimanfaatkan untuk pembangunan negara.

Namun demikian, mengikut Dr Abdul Rahim Ali, Pengerusi Majlis Syura, National Congress Party, iaitu parti yang memerintah, limpahan kemewahan hasil minyak ini telah juga mempengaruhi gaya hidup rakyat Sudan. Golongan elit yang berkuasa mulai boros berbelanja dan menunjuk-nunjuk kemewahan yang dikecapi. Apa yang membimbangkan beliau ialah jurang miskin-kaya akan melebar yang mana kalau tidak dibendung boleh saja mencetuskan krisis politik yang destruktif. Sudan memang tidak mampu untuk menghadapi krisis baru, setelah melalui krisis Darfur dan Selatan Sudan.

[+/-] Baca selanjutnya...

Wednesday, January 30, 2008

Ziarah Global - Munazzamat Dakwah Islamiyyah - pemangkin dakwah benua Afrika, pendekatan halus dan bertahap

Saya begitu tertarik dengan semangat gigih para pendakwah MDI bagi menyebarkan Islam di benua Afrika. Pendekatan halus dan bertahap yang digunapakai sangat berkesan di dalam memenangi hati penduduk yang masih mengamalkan faham animisma. Budaya tempatan tetap dipertahankan dengan sedikit pengubahsuaian agar sesuai dengan ajaran Islam. (lihat gambar tarian Afrika yang telah diberi nuansa Islam).

Bahasa Arab menjadi lingua franca dan ini memudahkan lagi penyebaran Islam dengan begitu cepat. Saya teringat hikmah dakwah Wali Songo di Alam Melayu abad ke 14 dan 15 yang menggunakan pendekatan halus dan bertahap sehingga berbondong-bondong orang masuk Islam dengan rela. Pendakwah generasi baru harus belajar dari sejarah pendakwah terdahulu yang menjadi mata-rantai perjuangan aqidah sejak Al-Rasul.

Jangan sombong mendabik dada, mengaku diri pengikut setia Sunnah Nabi, menemplak ijtihad dakwah ulama lampau, lantas menimbulkan polemik yang tidak berkesudahan. Akhirnya dakwah terbengkalai, umat porak peranda, musuh Islam gelak ketawa.

[+/-] Baca selanjutnya...

Tuesday, January 29, 2008

Ziarah Global - Sudan, 14-20 Jan 2008, Mesyuarat ke-22, Majlis Pemegang Amanah, Munazzamat Dakwah, Sudan

Dilantik menjadi Ahli Pemegang Amanah, Munazzamat Dakwah Islamiyyah, Sudan

Saya amat terharu apabila menerima surat pelantikan ini dari Pengerusinya Field Marshall Abdul Rahman Suar Al Dahab Disember yang lalu.


Saya menganggap pelantikan ini adalah suatu penghargaan dan pengiktirafan kepada peranan yang telah dipelopori oleh ABIM sejak 3 dekad yang lalu. Dari seramai 60 orang tokoh ulama dan pendakwah yang dilantik dari negara Arab dan Afrika, wakil dari Malaysia dan Turki dilantik untuk melebarkan lagi peranan Munazzamat selain Afrika.

Munazzamat Dakwah Islamiyyah(MDI) adalah sebuah badan dakwah yang sangat berpengaruh di Afrika. Aktiviti utamanya ialah pendidikan, kesihatan dan dakwah. Untuk membiayai aktivitinya, ramai penderma dan Yayasan dari negara Arab dan Teluk telah menjadi pendana utama. MDI juga mempunyai sebuah syarikat bernama Dan Fodio Holding Company yang melibatkan diri dalam pelbagai jenis perniagaan.



[+/-] Baca selanjutnya...