Thursday, November 20, 2008

DARUL QURAN BERPOTENSI MELAHIRKAN PENDAKWAH GLOBAL

Semalam, Selasa 18 November 2008, rombongan Yayasan Jaringan Global Masadepan(Future Global Network Foundation –FGN) telah membuat kunjungan ringkas ke Kompleks Darul Quran di Kuala Kubu Bharu. Tujuannya ialah untuk mendapat maklumat lanjut mengenai program Tahfiz yang merupakan suatu program yang semakin popular di kalangan Masyarakat Melayu di negara ini. Lawatan ini penting kerana FGN turut terlibat di dalam usaha untuk membangunkan projek Madinah al-Nur sebuah Kompleks Islam, Dakwah dan Tarbiah Serantau di Kg.Sg.Chinchin, Gombak yang masih dalam fasa perancangan dan pengumpulan dana.

Ustaz Azhari Othman, Abdul Muin Salleh dan Mohd Hanafi Yusoff telah sudi memberikan taklimat mengenai program di Darul Quran JAKIM. Di dalam taklimat telah dinyatakan bahawa Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ingin melihat satu hari nanti Darul Quran menjadi sebuah Universiti Tahfiz Pertama di Asia Tenggara. Impian ini ada asasnya kerana buat masa ini Darul Quran telah mendidik pelajar-pelajar dari Kemboja,Thailand,Brunei,Singapura dan Indonesia.

Buat masa ini Darul Quran menawarkan 3 kursus iaitu Diploma Tahfiz al-Quran, Sijil Tahfiz al-Quran/UIAM dan Sijil Tinggi Tarannum al-Quran. Seramai 750 orang pelajar sedang mengikuti kursus-kursus ini.

ORIENTASI DARUL QURAN HARUS BERSIFAT GLOBAL

Saya memberikan pendapat bahawa Darul Quran berpotensi untuk melahirkan para pendakwah global yang bakal menjadikan Malaysia sebagai pusat melahirkan ulama dan pendakwah di seluruh dunia. Justeru itu selain dari menguasai ilmu asas Al-Quran,i lmu kepimpinan , pembangunan komuniti, perbandingan agama dan penguasaan Bahasa Asing adalah sangat penting. Saya berhujah bahawa dalam masa 5 – 10 tahun nanti, graduan Darul Quran akan begitu ramai. Kerajaan tidak akan mampu untuk menawarkan pekerjaan di Jabatan Agama khususnya. Begitu juga jawatan Imam di Masjid di seluruh negara akan sampai ketahap optimum. Jadi sekiranya pelajar tidak dipersiapkan untuk berperanan di peringkat global, kita bimbang para graduan nanti menganggur atau melakukan pekerjaan yang tidak bersesuaian.

Juga di samping itu, peranan Malaysia amatlah diperlukan di dalam isu pembangunan umat Islam serantau seperti di Kemboja, Thailand, Filipina. Alangkah baiknya sekira graduan Darul Quran yang terlatih di bidang pembangunan komuniti dapat dihantar bertugas seperti Peace Corps tajaan Amerika Syarikat yang bertujuan untuk menggembangkan faham demokrasi melalui kerja kesukarelaan. Graduan Darul Quran bukan sahaja seorang hafiz dan imam solat, tetapi juga adalah penggerak masyarakat, agen perubahan. Dengan cara ini, citra Malaysia sebagai negara Islam akan lebih menyerlah dengan peranan para pendakwah muda ini.

Malah kalau perlu, pengajian harus ditambah setahun lagi bagi melatih ilmu-ilmu kemasyarakatan, ilmu perbandingan agama dan bahasa asing, khususnya Bahasa Inggeris. Memang cadangan ini nampak radikal, tetapi saya yakin sekiranya semua pihak sanggup berganding bahu, usaha murni ini boleh dijayakan. Malah saya menawarkan pengalaman dan wilayah pengaruh yang ada di dalam Union of NGOs of the Islamic World (UNIW) yang berpusat di Turki untuk membantu merealisasikan cita-cita ini.

LAMBAKAN GRADUAN AGAMA,MENAFAATKAN UNTUK DAKWAH SERANTAU

Kemudian, saya juga prihatin terhadap isu lambakan graduan jurusan agama dalam dan luar negara yang jumlahnya semakin ramai setiap tahun. Di Universiti Al-Azhar sahaja pada setiap masa, jumlahnya sudah menjangkau 5 ribu orang. Di samping itu setiap negeri sudah menubuhkan Kolej Agama dan Maahad Tahfiz masing-masing. Ada yang menubuhkan Kolej Universiti yang nantinya akan dinaiktaraf menjadi sebuah Universiti. Sekiranya tiada perancangan strategik dibuat dari sekarang mengenai masa depan graduan agama ini, kebimbangan saya ialah akan bercambah pula masalah-masalah baru seperti ajaran sesat, kumpulan agama yang berbagai orientasi, persaingan merebut pengaruh sesama sendiri dan lain-lain .

Saya mencadangkan agar graduan agama ini diberi ilmu tambahan dalam methodologi dakwah untuk serantau. Mereka harus didedahkan dengan ilmu perbandingan agama. Kalau nak berdakwah di Thailand, ajaran Budda harus dikuasai, kalau di Filipina, ajaran Keristian pula. Di samping itu ilmu kepimpinan dan pembangunan komuniti harus diberi pendedahan.

PENGALAMAN GRUP PENGKAJI TAMADUN DUNIA (GPTD) HARUS DI KAJI

Saya yakin ide ini boleh dilaksanakan kerana ianya telah pun dilaksanakan di dalam GPTD yang telah diasaskan beberapa tahun yang lalu. Malah pada waktu ini, GPTD telah menghantar 3 misi dakwah, satu kumpulan enam orang sekarang berada di Sri Lanka, seorang di Kepulauan Cocos, Australia dan seorang sedang menguasai Bahasa Turki di Istanbul.

Bayangkan sekiranya ide ini diangkat menjadi projek sukarelawan dakwah negara yang mana misinya menggembangkan dakwah di peringkat serantau, nama Malaysia akan menjadi terkenal sebagai pusat penggembangan dakwah serantau. Para pendakwah muda bertebaran menyebarkan ilmu Islam. Akan ada yang terus bermastautin kerana berkahwin orang tempatan, akan ada nanti yang akhirnya menjadi peniaga, ada pula yang menjadi pemimpin tempatan, dan macam-macam lagi kemungkinan. Nantinya akan ujud komuniti Melayu di merata tempat sebagaimana komuniti Cina dan India yang ada di merata dunia.

Apakah saya hanya bermimpi?

[+/-] Baca selanjutnya...

Tuesday, November 18, 2008

BANGSA ROHINGYA – BANGSA TANPA NEGARA MEMOHON PENGERTIAN DAN SIMPATI

Semalam saya mengadakan satu pertemuan dengan para ulama Rohingya yang berada di Malaysia. Mereka telah menubuhkan Majlis Ulama Rohingya (MUR) yang bertujuan untuk meningkatkan kefahaman agama masyarakat Rohingya yang jumlahnya sekitar 15 ribu jiwa di seluruh negara.

Interaksi saya dengan masyarakat Rohingya bermula sejak mereka dipaksa meninggalkan Burma oleh Rejim Tentera pada tahun 1992. Kesalahan mereka ialah kerana agama dan cara hidup mereka berlainan dengan majoriti penduduk Burma yang beragama Buddha. Rejim Tentera Burma (sekarang telah ditukar nama kepada Myanmar) tidak mengiktiraf mereka sebagai rakyat Burma. Malah menuduh mereka sebagai rakyat Bangladesh yang memasuki Burma secara haram. Mereka telah dihalau begitu saja tanpa peri kemanusiaan. Ramai yang sengaja dibunuh sebagai strategi menakutkan masyarakat tersebut supaya segera meninggalkan Burma.

Menuntut Kesabaran yang Tinggi

Ketika itu sebagai pemimpin ABIM, saya telah mengambil peranan untuk membela nasib masyarakat Rohingya dengan menyuarakan masalah yang mereka hadapi dan juga menyelesaikan masalah-masalah yang berkaitan dengan kemandirian mereka di negara ini sebagai pendatang yang tidak diiktiraf sebagai pelarian. Bahasa mudahnya mereka ini adalah pendatang haram yang tidak mempunyai negara. Burma tidak mengiktiraf mereka sebagai warganegaranya. Ya, tidak punya negara. Di sinilah dilemma kerajaan Malaysia. Kalau ditangkap, mahu dihantar ke mana? Sekiranya mereka mempunyai negara, mereka boleh diiktiraf sebagai pelarian yang mana haknya dijamin oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Begitulah nasib pendatang Rohingya yang terumbang-ambing sejak 1992 iaitu sudah 16 tahun. Apabila ditangkap kerana tidak mempunyai dokumen sah, akan dipenjarakan, kemudian dihantar ke Thailand. Di Thailand pula nasib serupa yang menimpa. Bagi mereka yang lari ke Bangladesh, hidup mereka juga susah walau mendapat simpati yang lebih kerana faktor sejarah. Tetapi Bangladesh adalah negara miskin yang tidak mampu untuk menganggung begitu ramai pendatang.

Akhirnya dalam keadaan yang tidak menentukan ini, masyarakat Rohingya berada dalam keadaan yang amat tertekan. Mereka tidak boleh bekerja untuk menyara diri dan keluarga, anak-anak mereka tidak boleh bersekolah. Cuba bayangkan macamana mereka boleh hidup? Itu sebab ramai yang meminta sedekah. Ada juga yang berkerja secara haram. Ramai juga majikan yang mengambil kesempatan atas kesusahan ini dengan membayar gaji yang terlalu rendah dan menindas. Lebih malang lagi, mereka sentiasa di dalam ketakutan setiap masa. Takut ditangkap polis, RELA dan Imigeresen. Kadang-kadang, bapa ditangkap, anak isteri terbiar. Berbulan-bulan lamanya dipenjara. Sementara itu, siapa yang nak menampung sara hidup keluarga tersebut? Begitulah sekelumit masalah yang dihadapi oleh masyarakat yang ini.

Atas kesedaran inilah saya mencuba untuk membantu mereka . Pertama atas dasar sesama Islam, kedua atas dasar kemanuasiaan. Namun demikian, menjaga masyarakat Rohingya ini bukanlah mudah. Perlu kesabaran yang tinggi. Oleh kerana pengalaman pahit yang mereka lalui, mereka tidak mempercayai sesiapa pun. Hatta sesama sendiri sentiasa curiga-mencurigai. Bagi yang bernasib baik, punya keluarga diluar negara yang membantu, hanya mementingkan diri sendiri. Sangat susah untuk bekerjasama. Kalau yang pandai sikit, masing-masing mahu menjadi pemimpin. Ada yang sanggup bekerja dengan siapa saja asal mendapat duit. Bagi yang dah ada ijazah, minatnya hanya satu iaitu nak bermastautin ke negara Barat saperti Amerika Syarikat, Australia dan lain-lain. Soal membangun dan membela masyarakat Rohingya yang daif, soal nombor dua.

Rohingya Information Centre – berebut menjadi ketua

Saya cuba satukan mereka dengan menubuhkan Rohingya Information Centre di bawah kelolaan ABIM. Hanya bertahan selama 8 tahun. Kemudian berlaku rampasan kuasa di mana Presidennya Sawmeeullah (seorang lulusan Universiti Islam Antarabangsa dalam bidang Sarjana Undang-Undang Perbandingan yang pernah bekerja dengan ABIM) dipecat ketika Hari Raya ketiga tahun 2006. Isunya kerana ada seorang pemimpin baru yang kononnya lebih baik dari Sawmeeullah. Akibatnya, RIC hidup segan mati tak mahu, kerana tidak lama selepas itu, Presiden yang baru pula menghilangkan diri setelah tembelangnya diketahui umum.

Jadi pertemuan saya dengan para Ulama Rohingya ini yang katanya berjumlah 300 orang dari 15000 pendatang adalah dalam rangka untuk meningkatkan kualiti kefahaman Islam. Mudah-mudahan masyarakat Rohingya akan lebih Islamik di dalam menghadapi apa jua ujian daripada Allah ta’ala.

[+/-] Baca selanjutnya...

Thursday, November 13, 2008

KOMEN SIKIT - Komentar terhadap isu terpilih

Bahasa Melayu dah nazak!


Tun Rahman memang saya kagumi semangat kentalnya memperjuangkan kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Sekarang ni dah tak berapa kedengaran mengenai Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Dah jadi Bahasa Malaysia pulak. Apa nak jadi ni? Dah banyak pakar Bahasa dan intelektual yang sedar yang membantah pelaksanaan Bahasa Inggeris didalam pengajaran Sains dan Matematik. Kajian demi kajian telah membuktikan dasar ini adalah sangat salah. Ianya membunuh Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu. Korea, Jepun, China,Taiwan semuanya maju dengan Bahasa sendiri.

Mempertahankan dasar ini setelah nyata membawa banyak keburukan kepada pembinaan jiwa bangsa adalah sikap yang bebal. Lebih malang lagi yang mempeloporinya ialah pemimpin UMNO sendiri yang kononnya memperjuangkan untung nasib orang Melayu. Bahasa apa lagi yang boleh dipakai untuk mereka faham. Berbagai mesej telah dihantar. Pilihanraya yang lalu juga boleh dibaca sebagai undi protes kepada dasar ini. Takkan tak faham lagi. Kalau sayangkan bangsa, bukan begini caranya. Hanya dengan menggembalikan dasar Bahasa Melayu kepada status quo yang mengikut Perlembagaan Negara saja adalah satu-satunya jalan yang mesti diambil. Tiada jalan lain. Kata Tun Rahman itu adalah gambaran pandangan dari akar umbi dan pakar serta intelektual Melayu yang faham dan sedar akan masa depan Bangsa Melayu.

Datuk Seri Hishammuddin, buatlah sesuatu yang berani dan tegas. Datuk akan sangat dihormati dan dianggap pejuang Bangsa yang sejati oleh anak cucu nanti. Saya masih mengharap buat kali terakhir..........!

Sila baca kenyataan Tun Abdul Rahman Yakub dalam Bernama.com 12 November 2008.




KUCHING, 12 Nov (Bernama) -- Tun Abdul Rahman Yakub berkata kedudukan Bahasa Malaysia (BM) akan terus terpinggir sekiranya subjek Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris (BI).
Bekas Menteri Pelajaran itu yang bertanggungjawab melaksanakan sistem pendidikan yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pada tahun 1970, berkata Bahasa Malaysia patut dikembalikan menjadi bahasa pengantar bagi meningkatkan peranan bahasa tersebut dalam sistem pendidikan negara.

"BM akan dipinggirkan, tak patut jika (pengajaran dalam BI) diteruskan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah pada Wacana Ilmu: Pembangunan Pendidikan Di Sarawak pada Rabu.

Abdul Rahman berkata isu yang membabitkan pendidikan negara perlu diserahkan kepada pakar pendidikan untuk merancang sementara tugas ahli politik adalah menerima segala cadangan sebelum sesuatu dasar pendidikan diperkenal dan dilaksanakan.

Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sarawak dari 1970 hingga 1981 dan Yang Dipertua Negeri Sarawak selama lima tahun bermula 1981, berkata sekiranya sesuatu keputusan berkaitan sistem pendidikan negara dibuat oleh golongan bukan benar-benar pakar dalam bidang tersebut, ia mungkin gagal mencapai objektif yang dikehendaki.

Semasa ceramahnya yang dianjurkan Institut Aminudin Baki, Abdul Rahman berkata tindakan menggunakan BI merupakan tindakan mundur ke belakang dan bukan ke depan.

"Saya tidak setuju," katanya dengan diberi tepukan gemuruh para peserta yang majoritinya merupakan golongan pendidik.

Katanya ramai golongan akademik dan profesional yang pernah mengikuti sistem pendidikan yang menggunakan BM sebagai bahasa pengantar, kini berjaya dalam bidang masing-masing.

Beliau berkata ini membuktikan BM bukan halangan untuk pelajar berjaya dalam subjek-subjek berkenaan.

"Kejayaan pelajar menguasai Sains dan Matematik bukan sahaja bergantung kepada bahasa pengantar, namun kombinasi pelbagai faktor yang hanya boleh dikesan dan dihuraikan oleh pakar pendidikan," katanya.

Turut bercakap kepada pemberita, bekas Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia, Datuk Dr Adi Badiozaman Tuah berkata, kajian terperinci dan berhati-hati perlu dilakukan sebelum membuat perubahan berkaitan dasar pendidikan.

Katanya keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bukan merupakan kaedah yang sesuai dalam menilai tahap pencapaian dan penguasaan Bahasa Inggeris menerusi kedua-dua subjek tersebut, kerana soalan dalam UPSR kebanyakkannya adalah berbentuk objektif.

"Kita tidak dapat tahu atau menilai sama ada mereka memahami soalan tersebut," katanya sambil mencadangkan supaya Sains dan Matematik diajar dalam bahasa ibunda murid-murid pada tiga tahun pertama di Sekolah Rendah supaya murid memahami dengan mendalam konsep subjek berkenaan.

Dr Adi Badiozaman berkata aspek pembelajaran BM dan BI perlu dimantapkan di peringkat awal persekolahan supaya murid tidak mengalami masalah apabila mereka menlanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebelum ini dilaporkan sebagai berkata keputusan sama ada pengajaran subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris akan diteruskan atau tidak, hanya akan dibuat selepas keputusan UPSR tahun ini dinilai.

Keputusan peperiksaan UPSR akan diumumkan Khamis (hari ini).

-- BERNAMA

[+/-] Baca selanjutnya...

Tuesday, November 11, 2008

SANTUNAN HADITH – Ruangan peringatan dari RasuluLlah s.a.w.

Manusia bermusuh kerana harta dan tahta

Dari Abdullah bin Amr Ash, RasuluLlah s.a.w. bertanya kepada para sahabat, "Jika Persia dan Romawi telah berhasil ditaklukkan untuk kalian, bagaimana keadaan kalian ketika itu?”
AbdurRahman bin Auf menjawab, "Kami akan bersikap seperti yang diperintahkan oleh Allah s.w.t.

Rasul menyanggah, Atau, tidak akan begitu! Kalian akan berlomba-lomba dan bersaing, kemudian kalian akan hasad, selanjutnya kalian akan saling membelakangi dan kemudian akan saling membenci.”
(Hadith ini sahih diriwayatkan Imam Muslim dalam kitab Sahihnya bab Zuhud dan Raqaiq (kelembutan jiwa),Hadith nombor 7616)

Huraian:

Hal begini bakal berlaku bila kekuasaan dan kekayaan berada ditangan umat Islam. Apabila perintah Allah s.w.t. mulai diabaikan ketika tahta dan harta sudah ditangan, maka 4 TA akan berlaku yang menyebabkan tahta dan harta hilang kembali. 4 TA tersebut ialah pertama, Tanafus iaitu saling berebut dan bersaing untuk mendapatkan dan tidak suka jika orang lain yang mendapatkannya. Kedua, Tahasud iaitu saling hasad, iri dan dengki. Berbagai cara akan dilakukan agar kenikmatan yang dirasai saudaranya hilang. Ketiga Tadaabur iaitu saling membelakangi, tidak bertegur sapa dan memutuskan sebarang bentuk hubungan dan komunikasi. Keempat, Tabaghudh iaitu saling membenci, kata-mengata, fitnah memfitnah. Ukhuwwah menjadi putus, permusuhan semakin marak dan mendalam.

Baru semalam di dalam satu perbincangan mengenai perjanjian untuk projek kerjasama, timbul satu isu mengenai betapa perlunya kita membuat perjanjian yang jelas hatta dengan saudara kandung sendiri bagi mengelakkan permusuhan. Kita tidak boleh mengambil sikap tak apa, sikap ambil mudah kerana mempercayai seseorang. Bila soal harta dan tahta, manusia akan cepat berubah dan kelabu mata. Malah pepatah Melayu ‘air dicincang tak akan putus’ yang menggambarkan perbalahan sesama saudara tidak akan memutuskan persaudaraan perlu dikaji semula. Persoalannya bagaimana kalau air tersebut dah dibekukan. Bukankah boleh diputus dua dengan gergaji? Maknanya selagi dua pihak boleh berlembut dan tidak membeku dengan sikap tidak mahu bertolak ansur, maka persaudaraan masih dapat diselamatkan. Kalau tidak berantakkanlah jadinya. Fikirkanlah……….!

(Sedutan dari Majalah Al-Mujtama Edisi 5, 12 Sya’ban 1429/14 Ogos 2008)

[+/-] Baca selanjutnya...

Friday, November 7, 2008

POLITIK GLOBAL

OBAMAMANIA - HARAPAN DUNIA UNTUK KEAMANAN

Kemenangan Senator Barack Hussein Obama menjadi Presiden Amerika Syarikat yang ke 44 pada 20 Januari 2009 nanti telah mencetuskan fenomena OBAMAMANIA di seluruh dunia. Latarbelakang beliau yang rencam telah menyebabkan masing-masing merasakan Obama adalah sebahagian daripada mereka. Bapanya berbangsa Kenya, maka seluruh rakyat Kenya berbangga dengannya. Malah Presiden Kenya, Mwai Kibaki telah mengisytiharkan cuti umum sebagai tanda sokongan dan kegembiraan rakyat Kenya.
Bapa tiri beliau Lolo Soetoro berbangsa Indonesia dan beragama Islam, maka rakyat Indonesia dan umat Islam turut menyokongnya dengan harapan beliau akan membawa keamanan kepada dunia. Malah kami di dalam mesyuarat NGO Islam sedunia memanggil beliau Hussein bukan Obama sebagai tanda harapan agar beliau dapat menghubungkan Islam dan Barat dengan lebih beradab dan bertamadun.

Beliau adalah pemimpin kulit hitam, maka masyarakat Afro-Amerika dan seluruh Benua Afrika menyokong beliau dengan harapan beliau akan melayani Benua Afrika dengan adil dan saksama. Masyarakat Afro-Amerika begitu berbangga dengan beliau kerana akhirnya masyarakat tersebut dapat menyaksikan satu sejarah buat pertama kalinya Amerika Syarikat menerima Presidennya dari kalangan mereka. Suatu impian yang mustahil sebelum ini. Martin Luther King pasti gembira sekiranya beliau masih hidup. Tangisan Jesse Jackson yang kalah dua kali dalam cubaannya untuk menjadi Presiden, menggambarkan kegembiraan masyarakat tersebut.

Ibu beliau berkulit putih dari Kansas, maka majoriti rakyat Amerika Syarikat yang berkulit putih turut merasakan Obama adalah sebahagian daripada mereka. Beliau mengaku adalah seorang yang kuat berpegang dengan ajaran Keristian dan menganggotai Trinity United Church of Christ di Chicago selama 20 tahun. Masyarakat Keristian tidak akan merasa terancam dan lega dengan pengakuan tersebut. Namun di dalam kehangatan kempen pemilihan, Obama terpaksa menarik diri dari ahli gereja Trinity kerana beberapa kenyataan Padrinya yang dianggap boleh menjejaskan peluangnya untuk memenangi pilihanraya Presiden.

Apa yang pasti OBAMAMANIA akan terus menjadi suatu fenomena yang menarik ketika dunia dilanda krisis peperangan, krisis kewangan dan krisis alam sekitar. Sokongan kuat terhadap beliau menggambarkan rakyat Amerika Syarikat sudah penat dan malu dengan Dasar Presiden Bush yang angkuh dan sombong. Sokongan dunia kepada beliau adalah gambaran harapan untuk kedamaian.

OBAMA DAN LOBI ZIONIS
Namun demikian didalam euphoria kegembiraan meraikan kemenangan Obama, kita tidak harus lupa kepada realiti pengaruh Lobi Zionis yang begitu mengakar didalam sistem politik dan kewangan Amerika Syarikat. Adalah terlalu naïf sekiranya kita mengandaikan dengan jawatan Presiden itu, Obama akan dapat melakukan sesuatu yang drastik terutama untuk memberi keadilan kepada isu Palestin dan keamanan dunia amnya.

Mengikut laman sawang OpenSecrets.org, Obama telah berjaya mengumpul dana untuk pemilihan Presiden berjumlah US639,174,282 yang merupakan jumlah terbesar yang pernah dikutip didalam sejarah pemilihan Presiden Amerika Syarikat. Persoalannya, dari mana dana sebesar itu yang boleh dikutip oleh seorang Senator yang baru berkhidmat selama satu penggal dan bukan pula dari kalangan pemimpin kulit putih. Walaupun persoalan ras tidak begitu lagi ditonjolkan, tetapi isu ini tetap menjadi faktor penting yang menentukan. Cuba baca respon ahli Parti Republikan bila Obama menang sebagai Presiden? Antara yang begitu ketara ialah kenyataan saperti, "Selepas empat tahun di bawah Obama, Amerika tidak akan sekali-kali membenarkan seorang sepertinya menjadi Presiden”. Ini mungkin kenyataan orang tengah marah, tetapi itulah realiti dan cabaran sebenar.

Kenyataannya, Obama mulai mendapat dokongan dari Lobi Zionis setelah beliau membuat ucapan di awal tahun 2007 di dalam Majlis American Israel Public Affairs Committee (AIPAC) sebuah pelobi Zionis yang paling berpengaruh di Amerika Syarikat. Di Majlis tersebut beliau menegaskan saperti berikut, we must preserve our total commitment to our unique defense relationship with Israel by fully funding military assistance and continuing work on the Arrow and related missile defense programs.

Kenyataannya, Obama telah melantik Rahm Israel Emanuel, sebagai White House Chief of Staff, satu jawatan terpenting dalam Pejabat Presiden. Rahm Emanuel terkenal sebagai pemimpin Amerika Syarikat yang sokongannya kepada Israel sangat mendalam .Beliaulah nanti akan menentukan halatuju Presiden dengan melantik pegawai-pegawai yang tentunya syarat utamanya mesti pro-Israel.

APAKAH SEPATUTNYA SIKAP UMAT ISLAM TERHADAP OBAMA?

Apa pun yang akan dibuat oleh Obama nanti, umat Islam seharusnya bersikap positif dan proaktif. Memang secara jujurnya umat Islam terbahagi kepada dua pola pemikiran yang sangat bertentangan.

Pertama, ialah mereka yang berpandangan bahawa sesiapa juga yang menjadi Presiden Amerika Syarikat, baik Republikan maupun Demokrat, dasar Amerika terhadap Islam tetap sama. Ini adalah kerana pelobi Zionis tidak akan membiarkan sesiapa jua yang akan merobah dasar Amerika yang pro-Israel. Presiden Carter dah mencuba, Presiden Clinton juga sama. Presiden Bush lagi parah. Kesemuanya kecundang di tangan pelobi Zionis yang begitu mencengkam politik dan ekonomi Amerika. Justeru, kita harus jangan mengharap apa-apa dari Obama.

Kedua pula berpendapat, latarbelakang Obama memungkinkan beliau akan lebih terbuka dan berlapang-dada dengan dunia Islam. Memang pelobi Zionis tidak akan berdiam diri, tetapi sekiranya dunia Islam menjauhkan diri, maka Obama akan terus menjadi lemah. Politik Amerika, bagi yang mengerti amat dipengaruhi oleh Kumpulan Pelobi. Banyak kumpulan pemikir bagi banyak kepentingan menjadi pelobi kepada isu-isu kepentingan mereka. Mengapa dunia Islam tidak menggunakan saluran yang sah ini untuk melakukan perkara yang sama. Membiarkan pelobi Zionis bermaharajalela bermakna kita sudah mengaku kalah sebelum berbuat apa-apa.

Apa pun sikap kita, Obamamania adalah suatu fenomena yang tidak patut berlalu begitu saja. Dunia Islam harus proaktif. Obama pernah terdedah dengan dunia Islam. Keluarga ayahnya berketurunan Islam. Beliau pernah belajar di Indonesia dan terdedah dengan agama Islam sejak kecil. Jadi, dunia Islam sudah ada common point untuk memulakan policy of engagement. Apa yang perlu sekarang ialah pemimpin yang mempunyai pemikiran strategik yang mampu engage Obama. Dunia Islam menantikan dengan penuh debar dan harap.

[+/-] Baca selanjutnya...

Wednesday, November 5, 2008

Rehat minda – (Ruangan santai dan anekdot pilihan)

Makanan laut di Sulawesi paling sedap setakat ini !


Sudah menjadi kegemaran saya untuk mencuba makanan kegemaran tempatan setiap kali berkunjung ke luar negara. Antara kegemaran saya ialah makanan laut atau 'seafood’ bagi yang dah malu nak menggunakan Bahasa Melayu.

Saya dah cuba makanan laut di Belawan, Medan, Tom Yam di Thailand dan juga Restoran Tom Yam yang berlambak di Kuala Lumpur. Malah ketika Juara Tom Yam baru di buka di Kampong Bharu, saya merupakan antara pelanggan awal di tahun 1987. Ketika itu saya bekerja dengan Saudara Kamaruddin Md.Nor di pejabat WAMY,Jalan Ampang Hilir. Beliaulah yang mengajak saya untuk makan di situ. Itulah pertama kali saya merasai masakan Tom Yam. Kegemaran saya ialah masakan ikan kerapu masam manis, udang goreng tepung dan burung puyuh goreng (kalau ada)

Baru-baru ini ketika lawatan ke Makassar dan Pare-Pare, Sulawesi mengetuai Ekspedisi Pendidikan WADAH dari 18 -22 Oktober 2008, kesempatan ini memang terbaik untuk merasai makanan kegemaran tempatan orang di Sulawesi. Katanya makanan laut disini sangat terkenal. Rombongan kami di bawa ke Restoran Ratu Gurih berdekatan Pantai Losari, Makassar dan juga Restoran di Hotel Kenari Bukit Indah, Pare-Pare.

Wow! Memang lazat dan menyelerakan. Di Ratu Gurih, habis licin tidak berbaki. Ustazah Harison, isteri Ustaz Mahidin yang juga mantan Pengetua Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur (SMAKL) yang turut serta sampai tercekik tulang ikan. Kesian saya lihat dia kerana dua hari yang berbaki beliau nampaknya tak berapa selera makan kerana tulang masih terlekat di kerongkong. Masing-masing bagi petua. Ada yang suruh telan nasi yang dah dikepal bulat, kemudian telan perlahan-lahan. Ada yang suruh baca ayat-ayat tertentu. Pastinya Ustazah dah tak berapa nak bercakap. Tahan sakit. Ustaz Mahidin nampak tenang saja walaupun ternyata bimbang.

Itulah penangan makanan laut di Sulawesi. Paling sedap setakat ini. Kalau ada yang nak cadangkan tempat lain, harap beritahu saya. Pasti nak cuba. Ini sajalah hiburan orang dakwah.......!!!

[+/-] Baca selanjutnya...

Tuesday, November 4, 2008

Kunjungan Ali Kurt, pemimpin Yayasan Hayrat, Turki

Pejabat Future Global Network selalu dikunjungi oleh pemimpin NGO dan Gerakan Islam dari seluruh dunia. Ini adalah juga kerana kapasiti saya selaku Pengerusi Suruhanjaya Sosial, Kemanusiaan dan Solidariti, Union of NGOs of the Islamic World (UNIW) yang beribu pejabat di Istanbul, Turki.

Baru-baru ini Ali Kurt yang merupakan pemimpin utama Yayasan Hayrat, Turki telah berkunjung ke Malaysia atas urusan Yayasan dan juga perniagaan. Ali adalah juga Penolong Setiausaha Agung UNIW.

Yayasan Hayrat adalah sebuah yayasan yang bergiat atas dasar Dakwah yang diasaskan oleh Ustaz Badiuzzaman Said Nursi (1876 – 1960) seorang pendakwah terkenal yang menyelamatkan aqidah umat Islam Turki dari Faham Sekularisma Kamal Ataturk (1881 – 1938). Sepanjang 84 tahun kehidupannya penuh dengan ujian berat yang dikenakan terhadapnya kerana menentang faham sekularisma yang cuba dipaksakan oleh Kamal Ataturk terhadap umat Islam Turki. Beliau dipenjarakan, dibuang daerah, diracun, diseret ke Mahkamah atas kesalahan yang direka cipta, sehingga apabila beliau meninggal dunia, jenazahnya digali dan dikuburkan di tempat yang dirahsiakan sehingga hari ini.

Di sepanjang hidup beliau yang penuh tribulasi tersebut beliau tidak pernah mengeluh. Malah beliau tetap terus berdakwah bagi menyelamatkan aqidah umatnya melalui tulisan –tulisan yang kemudian dibukukan yang berjudul Risalah-i-Nur. Buku inilah yang menjadi panduan penting bagi pengikut beliau di dalam Yayasan Hayrat.

Selepas beliau meninggal dunia, urusan kepemimpinan telah diserahkan kepada Ustaz Ahmad Husrev Altinbasak yang merupakan pengikut yang paling setia. Selepas itu Yayasan Hayrat di pimpin oleh Ustaz Said Nuri sehingga sekarang.

Kunjungan Ali Kurt serta rombongannya sangat besar ertinya kepada saya kerana umat Islam Turki nampaknya sudah semakin aktif memainkan peranan menggerakkan semula ruh al-Islam di seluruh dunia.

[+/-] Baca selanjutnya...